KUCHING: Pelaksanaan Projek Lebuhraya Trans Borneo dan Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) sedang berjalan lancar dengan pelbagai kemajuan positif dicapai setakat ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Projek Lebuhraya Trans Borneo di bahagian Miri kini berada di peringkat reka bentuk dan dijangka dimuktamadkan pada suku kedua tahun 2025 dan akan ditender pada suku ketiga tahun ini.
“Projek di bahagian Miri dijangka ditender pada suku ketiga tahun 2025, manakala projek di bahagian Limbang dan Lawas akan dianugerahkan pada suku pertama tahun 2026,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Bagi projek SSLR pula, Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu memberitahu itu memaklumkan bahawa Fasa 1 telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 52.27 peratus setakat April 2025, dan dijangka siap menjelang suku keempat tahun depan.
Tambahnya bagi SSLR Fasa 2, kerja-kerja pembinaan telah dimulakan bagi semua pakej melibatkan kerja-kerja pembersihan tapak, kerja tanah dan saliran.
“Sehingga April 2025, kemajuan fizikal keseluruhan adalah 0.93 peratus dan dijangka siap menjelang suku ketiga tahun 2029,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain jelasnya, sebanyak 121 projek bernilai RM7.92 bilion telah diluluskan di bawah inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), meningkat daripada 107 projek yang dilaporkan sebelum ini.
Katanya, status pelaksanaan menunjukkan 15 projek telah siap, 33 sedang dalam pembinaan dan 73 lagi masih di peringkat pra-kontrak.
"JKR Sarawak telah menganugerahkan 17 projek kepada kontraktor yang berjaya untuk memulakan kerja-kerja pembinaan dalam tempoh November 2024 hingga April 2025," katanya.-EDISI UKAS