Lebih 500 Projek Pacu Ekonomi & Infrastruktur Sarawak

Posted on 28 May 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperlihatkan komitmen teguh dalam memperkukuh pembangunan wilayah ini menerusi pelaksanaan sebanyak 500 projek infrastruktur strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dengan peruntukan berjumlah RM42.24 bilion.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek-projek ini dilihat sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat, merangkumi pelbagai sektor kritikal termasuk jalan raya, jambatan, bangunan, struktur sungai dan lapangan terbang.

Menurutnya, antara inisiatif penting yang sedang dilaksanakan termasuk 301 projek jalan raya bernilai RM28.03 bilion bagi memperkukuh jaringan pengangkutan darat, 70 jambatan bernilai RM5.76 bilion yang bakal merapatkan jurang antara kawasan luar bandar dan bandar serta 104 projek bangunan bernilai RM3.68 bilion termasuk sekolah, klinik dan kemudahan awam lain.

Tambah beliau, ia termasuk 23 struktur sungai bernilai RM4.42 bilion untuk keselamatan dan kesejahteraan komuniti pesisir dan dua lapangan terbang bernilai RM350.82 juta yang bakal melonjakkan akses pelancongan dan perdagangan.

"Sehingga kini, 218 projek telah berjaya disiapkan, manakala 122 sedang giat dibina. Sebanyak 160 lagi berada di peringkat pra-kontrak,"katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya, dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.

Datuk Amar Douglas Uggah menambah, peningkatan sebanyak 15 projek siap dan tambahan 24 projek yang sedang dibina membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan setiap projek dilaksanakan dengan pantas dan berkesan demi manfaat rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, kementeriannya melalui JKR Sarawak juga kini giat melaksanakan 481 projek infrastruktur bernilai keseluruhan RM3.39 bilion.

Projek-projek ini katanya, dilaksanakan di bawah lima agensi pembangunan kawasan, iaitu Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) dan Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).

"Daripada jumlah keseluruhan projek, 110 projek telah siap sepenuhnya, 90 projek sedang dalam pembinaan dan 281 projek berada di peringkat pra-kontrak,"ujar beliau.

Menjelas lanjut, Datuk Amar Dauglas Uggah turut memaklumkan bahawa sebanyak 41 projek dijangka siap menjelang akhir tahun ini, melibatkan 36 projek jalan raya, tiga jambatan dan dua bangunan.

Pelaksanaan projek-projek ini katanya, bukan sekadar memenuhi keperluan asas, malah menjadi pemacu pembangunan sosial dan ekonomi luar bandar secara menyeluruh.-EDISI UKAS