Pelan Induk Pelabuhan Sarawak Lonjak Ekonomi Sarawak Baharu

Disiarkan pada 28 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Pelan Induk Pelabuhan Sarawak disifatkan sebagai pemangkin transformasi ekonomi yang bakal mengangkat Sarawak sebagai hab perdagangan dan logistik serantau dan global.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelan ini bukan sekadar pembangunan infrastruktur, tetapi satu visi besar untuk menjadikan pelabuhan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi, selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Pelan ini memberi fokus kepada empat teras utama iaitu penambahbaikan tadbir urus, pemodenan infrastruktur pelabuhan dan zon bebas, kepelbagaian ekonomi, serta peningkatan jaringan perhubungan.

“Ia juga dirangka agar mampan, berdaya saing dari segi kewangan dan menarik kepada pelabur asing,” katanya semasa ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Datuk Amar Douglas Uggah menambah, pelan ini akan membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan dan industri tempatan serta menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada sumber asli.-EDISI UKAS