Sistem Tender Terbuka Perkukuh Ketelusan & Kualiti Perkhidmatan Perundingan

Disiarkan pada 28 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak menegaskan pelaksanaan sistem tender terbuka dalam perolehan perkhidmatan perunding bukan sahaja berasaskan prinsip ketelusan dan keadilan, malah bertujuan menjamin mutu perkhidmatan serta kebertanggungjawaban dalam perbelanjaan awam.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sistem ini bukan semata-mata memilih bidaan paling rendah, sebaliknya memberi keutamaan kepada cadangan terbaik dari segi pendekatan teknikal dan kos yang berpatutan.

“Sistem tender terbuka menjamin bahawa semua perunding yang layak dan berkelayakan diberi peluang sama rata untuk menyertai.

“Ini adalah asas kepada ketelusan dan keadilan dalam penyampaian perkhidmatan awam,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru II itu menambah, proses ini turut menggalakkan inovasi dalam kalangan perunding apabila mereka berusaha mengemukakan pendekatan terbaik, teknologi terkini dan idea-idea baharu dalam pelaksanaan projek.

Beliau memaklumkan bahawa sistem penilaian tender di Sarawak menggunakan pendekatan dua sampul (two-envelope system) yang menilai cadangan berdasarkan merit teknikal terlebih dahulu, sebelum pertimbangan diberikan kepada aspek kewangan.

“Dengan cara ini, kita dapat memastikan hanya perunding yang benar-benar berkemampuan secara teknikal dipilih, dan bukan semata-mata berdasarkan yuran terendah. Ini penting untuk memastikan perkhidmatan berkualiti tinggi, khususnya bagi projek berskala besar,” ujarnya.

Datuk Amar Douglas Uggah turut menegaskan bahawa sistem tersebut mematuhi semua dasar dan rangka kerja perundangan negeri, termasuk Manual Perolehan Perkhidmatan Perunding Kerajaan Sarawak, serta selaras dengan dasar Persekutuan melalui Pekeliling Perbendaharaan PK 3.6 mengenai kaedah perolehan secara tender terbuka.

“Ini bukan sekadar proses pentadbiran, tetapi satu tonggak kepada tadbir urus yang baik, kecemerlangan profesional, dan tanggungjawab fiskal,” katanya lagi.

Sebelum ini, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dari Batu Kitang dan Tamin telah membangkitkan isu berkaitan amalan bayaran yuran perunding yang rendah dalam sistem tender terbuka yang menurut mereka boleh menjejaskan kualiti kerja perunding.

Namun, jelas Datuk Amar Douglas Uggah, sistem yang diamalkan kini menyeimbangkan antara nilai wang dan hasil perkhidmatan terbaik.-EDISI UKAS