KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan wilayah dengan peruntukan besar berjumlah RM13.5 bilion kepada sembilan agensi pembangunan wilayah bagi merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar di seluruh negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pendekatan berasaskan komuniti atau ‘bottom-up’ digunakan dalam perancangan dan pelaksanaan projek, agar setiap pembangunan yang dirancang benar-benar memenuhi keperluan rakyat di kawasan masing-masing.
“Daripada jumlah keseluruhan RM13.5 bilion itu, sebanyak RM7.5 bilion diperuntukkan menerusi bajet tahunan Sarawak untuk melaksanakan 901 projek pembangunan di bawah lima agensi, iaitu Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), Agensi Pembangunan Bersepadu Kuching Raya (GKCDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Rajang Tengah (MiRRDA)," katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Sementara itu, Datuk Amar Douglas Uggah memberitahu, daripada jumlah tersebut sebanyak 894 merupakan projek fizikal manakala tujuh lagi adalah projek bukan fizikal.
Tambahnya, sehingga April 2025, sebanyak 82 projek atau 9 peratus telah siap sepenuhnya, manakala 819 projek selebihnya masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
"Baki RM6.0 bilion pula diperuntukkan menerusi pembiayaan alternatif bagi pelaksanaan projek di bawah empat agensi lain iaitu Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Agensi Pembangunan Wilayah Rajang Hulu (URDA) dan Agensi Pembangunan Bersepadu Samarahan (IRSDA).
“Sehingga kini, sebanyak RM3.19 bilion daripada peruntukan tersebut telah dibelanjakan dengan 601 projek berjaya disiapkan,” jelasnya. - EDISI UKAS