KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited memperluas akses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai usaha memperkukuh daya saing perniagaan tempatan dan merangsang inovasi.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kekangan pembiayaan kekal sebagai cabaran utama yang menjejaskan pertumbuhan PMKS dan menghadkan keupayaan mereka untuk beralih kepada teknologi baharu.
“Sehubungan itu, PMKS digalakkan untuk meneroka pembiayaan alternatif seperti “crowdfunding” dan modal teroka, di samping memanfaatkan pelbagai skim bantuan kewangan yang disediakan oleh kementerian,” katanya ketika sesi penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-19, pada Rabu.
Katanya, antara program yang ditawarkan termasuk Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK), Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV), Program Go Digital, Skim Mikro Kredit Sarawak (SKMS) dan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS).
Jelasnya, sejak 2021, lebih 9,400 PMKS telah menerima manfaat daripada program-program ini dengan jumlah pembiayaan melebihi RM204.3 juta.
“Sehingga kini, lebih 178,000 PMKS telah menerima manfaat menerusi pembiayaan yang diluluskan bernilai kira-kira RM3.3 bilion daripada institusi seperti SME Bank, Amanah Ikhtiar Malaysia, MIDF, MARA dan SEDC.
“Bantuan ini turut merangkumi pembiayaan hijau oleh Alliance Bank dan Dana Strategik OCBC yang menyokong pelaburan dalam inisiatif mampan dan mesra alam,” katanya.-EDISI UKAS