Sarawak Terajui Usaha Penyahkarbonan Serantau Melalui Teknologi CCUS

Disiarkan pada 28 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sarawak kini berada di barisan hadapan dalam usaha penyahkarbonan serantau menerusi pelaksanaan teknologi Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), dengan potensi penyimpanan karbon geologi melebihi 65 peratus daripada keseluruhan kapasiti negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kedudukan strategik ini bukan sahaja mengukuhkan peranan Sarawak dalam ekonomi rendah karbon di peringkat global, malah membuka ruang kepada pelaburan mampan dan penyelesaian inovatif jangka panjang.

“PETROS sebagai pengurus sumber yang dilantik telah melancarkan Sarawak Bid Round 2024, pusingan bidaan pertama di Asia yang memfokuskan kepada penyimpanan karbon, melibatkan tiga lokasi luar pesisir yang dikenal pasti mempunyai potensi geologi yang tinggi,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Tambah beliau, perjanjian bagi bidaan tersebut dijangka dimuktamadkan dan dianugerahkan kepada syarikat yang berjaya menjelang akhir suku kedua 2025.

Jelas beliau lagi, PETROS turut memacu pembangunan dua hab utama CCUS di Kuching dan Samalaju, yang akan merangkumi infrastruktur bersepadu bagi penyimpanan karbon dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

Inisiatif ini akan menjadikan Sarawak penyedia penyelesaian penyimpanan karbon untuk pengeluar domestik dan antarabangsa.

“Usaha ini akan meletakkan Sarawak sebagai pemain utama dalam portfolio penyimpanan karbon bertaraf global, sekaligus memperkukuh kepakaran negeri, daya tarikan pelaburan dan pertumbuhan ekonomi rendah karbon secara mampan,” ujar beliau.-EDISI UKAS