KUCHING: Sarawak menyokong strategi nasional dalam memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) dengan tumpuan kepada peningkatan nilai tambah dan penyertaan dalam rantaian nilai global.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, meskipun menyumbang besar kepada ekonomi, majoriti MSME masih berada pada tahap mikro yang rendah dari segi hasil nilai tambah.
“SME Corp. Malaysia melaporkan perubahan struktur MSME dalam tempoh 20 tahun lalu sangat minimum, dengan campur tangan banyak tertumpu kepada pengembangan organik perusahaan mikro dan kecil.
"Syarikat bersaiz sederhana menjana RM8.5 juta nilai tambah, berbanding hanya RM0.2 juta oleh perusahaan mikro,” jelasnya semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Tambah beliau, Sarawak kini menempatkan lebih 74,000 MSME, iaitu 6.8 peratus daripada keseluruhan MSME negara.
Menurut beliau lagi, kerajaan negeri juga akan menyelaraskan dasar keusahawanan dan pembangunan industri dengan inisiatif Persekutuan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13.
Inisiatif itu antaranya menyasarkan peningkatan jumlah syarikat sederhana daripada 1.8 kepada 5 peratus, galakan penyertaan dalam aktiviti bernilai tinggi serta memudahkan penyenaraian syarikat di papan pasaran.
“Strategi kami akan memastikan MSME mempunyai peluang saksama untuk meneroka perniagaan baharu, meningkatkan daya saing dan membina ketahanan jangka panjang dalam pasaran global,” katanya lagi.-EDISI UKAS