KUCHING: Kerajaan Sarawak kini dalam proses merangka dasar pembangunan industri mineral dan pengkuarian yang lebih komprehensif, dengan penekanan terhadap perlombongan berteknologi tinggi dan mampan bagi mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, langkah ini adalah sebahagian daripada usaha memperkasakan sektor perlombongan dan pengkuarian negeri yang mempunyai potensi besar untuk diteroka secara strategik.
“Antara tumpuan utama ialah penerokaan sumber secara lestari, termasuk memperkenalkan teknologi perlombongan moden serta memperkukuh pemantauan dan kawal selia bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar,” katanya ketika ucapan penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata susulan penemuan baharu deposit emas di kawasan Bau, kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan projek perintis di kawasan seluas 5.281 hektar untuk menilai kebolehlaksanaan dan impak operasi sebelum sebarang aktiviti perlombongan komersial dimulakan.
“Projek perintis ini penting sebagai langkah mitigasi awal bagi memastikan operasi yang akan dijalankan kelak menepati piawaian keselamatan dan pemuliharaan,” ujarnya.
Dalam aspek pembangunan modal insan, beliau memaklumkan bahawa kira-kira 1,400 peluang pekerjaan baharu dikenal pasti dalam industri perlombongan huluan dan pengkuarian di Sarawak.
“Kerajaan melalui CENTEXS akan menyediakan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVIT) bagi melahirkan tenaga kerja mahir, manakala kerjasama strategik juga sedang diusahakan dengan University of British Columbia (UBC), Kanada dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta pemindahan teknologi,” tambahnya lagi.
Selain itu katanya, sebuah sistem digital dikenali sebagai Sarawak Minerals Information System (SMIS) turut dicadangkan untuk dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan dan pemantauan sumber mineral dan batuan di negeri ini.-EDISI UKAS