KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil langkah tegas dalam menangani isu projek perumahan terbengkalai melalui penubuhan Jawatankuasa Kerja Teknikal Perumahan Bermasalah (JKTP).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, JKTP berperanan sebagai platform teknikal yang melibatkan pihak berkuasa tempatan, agensi teknikal negeri, pakar undang-undang serta pemegang taruh lain untuk menyelaras tindakan intervensi, mediasi dan penyelesaian sehingga penyerahan rumah kepada pembeli.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak itu juga menjelaskan langkah ini diambil bagi memastikan pemaju bertanggungjawab dan hak pembeli terus dilindungi.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Menjawab kebimbangan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Tellian, Tanjong Batu dan Stakan, beliau turut menjelaskan bahawa semua pemaju yang ingin membina lebih lapan unit rumah diwajibkan membuka Akaun Pembangunan Perumahan (HDA) atau mendapatkan Jaminan Bank (BG) sebelum lesen dan permit jualan boleh diluluskan.
“Di bawah ordinan sedia ada, wang deposit ini boleh dilucutkan sekiranya pemaju gagal melaksanakan tanggungjawab mereka seperti yang ditetapkan,” tegasnya.
Langkah ini, katanya lagi, mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak untuk memperkukuh akauntabiliti dalam industri perumahan dan mengelakkan pembeli teraniaya akibat kelewatan atau kegagalan projek.-EDISI UKAS