Sarawak Pastikan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas Tidak Tercicir Dalam Pendidikan Digital Awal

Disiarkan pada 27 May 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Seramai 1,435 kanak-kanak termasuk berkeperluan khas kini celik digital hasil pelaksanaan program literasi digital peringkat prasekolah di 64 pusat SeDidik seluruh Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, program KIDS: Bits and Bytes Digital Literacy memberi pendedahan awal kepada aspek pengkodan, keselamatan internet dan kemahiran digital yang sesuai mengikut usia kanak-kanak.

“Pelaburan dalam kualiti dan kesaksamaan ini memastikan anak-anak kita tidak tercicir dalam era digital,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.

Program ini dimulakan secara perintis pada 2023 di enam pusat SeDidik dengan kerjasama The Dariu Foundation, Rolf Schnyder Foundation, Swinburne University Sarawak serta kementerian berkenaan.

Sehingga kini, seramai 117 guru telah dilatih untuk melaksanakan pengajaran menggunakan pendekatan digital.

Selain itu, sebanyak 427 tablet telah disumbangkan bagi memastikan akses kepada peralatan digital mencukupi dan menyeluruh, sekali gus membolehkan program ini diterapkan sepenuhnya dalam kurikulum prasekolah SeDidik di seluruh negeri.-EDISI UKAS