KUCHING: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam peralihan tenaga bersih di Asia-Pasifik menerusi penganjuran edisi keenam Minggu Tenaga Antarabangsa atau ‘International Energy Week (IEW) 2025’ pada 15 hingga 17 Julai di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni memberitahu, tema ‘From Sarawak to the World: Journey to Clean Energy Leadership’ mencerminkan aspirasi Sarawak bukan sekadar menjadi pengguna tetapi juga sebagai pengeluar dan pengeksport penyelesaian tenaga bersih.
“IEW 2025 menandakan detik penting dalam perjalanan Sarawak sebagai pemimpin tenaga bersih serantau.
“Kita sudah menjana lebih 70 peratus tenaga elektrik daripada sumber hidro yang boleh diperbaharui dan terus mengorak langkah dalam teknologi solar, biojisim dan hidrogen,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media berkenaan IEW 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa.
Datuk Dr. Hazland menambah, Sarawak kini menerajui pelaksanaan ekonomi hidrogen negara dengan kemudahan pengeluaran dan stesen pengisian semula hidrogen komersial pertama di Malaysia.
Beliau menjelaskan, inisiatif ini sejajar dengan Visi Kelestarian Sarawak 2030 yang memfokuskan pertumbuhan ekonomi hijau berasaskan inovasi, pengurusan sumber dan pemeliharaan alam sekitar.
Datuk Dr. Hazland menjangkakan IEW 2025 bakal menghimpunkan lebih 6,500 peserta dari 25 negara, menandakan peningkatan 18 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ujarnya, lebih 400 syarikat akan mempamerkan inovasi terkini dalam tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, kecekapan tenaga, grid pintar, teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dan infrastruktur hijau.
Selain pameran, IEW 2025 turut menampilkan sidang kemuncak yang melibatkan 50 penceramah terkenal dan 400 perwakilan dalam 20 sesi perbincangan.
Antara sorotan termasuk dialog bersama Premier Sarawak, forum menteri mengenai transformasi ekonomi dan panel pakar mengenai dasar ASEAN, pembangunan mampan dan inovasi tenaga.
Datuk Dr. Hazland turut menekankan bahawa IEW 2025 bukan sekadar platform perbincangan, malah menjadi pemacu pelaburan dan kerjasama rentas sempadan.
“Dengan sokongan kukuh industri, pelabur dan rakan strategik dari dalam dan luar negara, kita bersedia untuk mengangkat Sarawak ke pentas global sebagai hab tenaga bersih masa depan,” tambahnya.
Dalam pada itu, IEW 2025 disokong oleh penaja utama seperti ENEOS, Siemens Energy, Technip Energies dan Velesto Energy, serta rakan kongsi termasuk Schneider Electric, Toshiba, dan Malaysia Petroleum Resources Corporation.-EDISI UKAS