HAWANA Instrumen Kesedaran Sosial, Tingkat Pemahaman Masyarakat Tentang Maklumat Sahih

Disiarkan pada 16 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Hari Wartawan Nasional (HAWANA) amat signifikan sebagai instrumen kesedaran sosial bagi meningkat pemahaman masyarakat tentang kepentingan media dalam menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat.

Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), Ronnie Teo Teck Wei menyifatkan penganjuran HAWANA 2024 merupakan antara platform bagi memberi kesedaran kepada pengamal media itu sendiri dalam menjalankan tugas di lapangan dengan mengutamakan kod etika kewartawanan.

Menurutnya, pengamal media tidak boleh mengabaikan kod etika kewartawanan tanpa melakukan semakan fakta dahulu sebelum membuat laporan berita yang sensasi dan tidak berasas.

"Penghasilan pelaporan mereka tanpa mengabaikan kod etika ini adalah selaras dengan tema sambutan HAWANA 2024 yang diangkat iaitu 'Etika Teras Kewartawanan Mapan'.

"Bagi kami, etika kewartawanan merupakan batu asas yang amat penting kepada pengamal media terutamanya dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat denga telus, sahih dan tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam Program Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ronnie Teo mengalu-alukan orang ramai mengambil bahagian dalam Pameran sempena HAWANA 2024 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Mei ini di Atrium Utama, Plaza Merdeka Shopping Centre Kuching.

Katanya, sebanyak 20 reruai pameran daripada 17 agensi termasuk KDJA akan menyediakan pelbagai pengisian bagi menarik kehadiran para pengunjung.

"Jadi, jangan lepaskan peluang ini bagi merasai sendiri pengalaman bersama para pengamal media dari Sarawak termasuk dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan media dari negara jiran seperti Indonesia dan Brunei Darussalam," katanya lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden KDJA, Zulazhar Sheblee menyifatkan penganjuran HAWANA 2024 yang julung kali diadakan di Sarawak adalah untuk mendekatkan warga media di negeri ini kepada orang ramai secara dekat untuk mendapatkan maklumat serta mempelajari tugas-tugas sebagai wartawan ketika di lapangan.

Selain itu katanya, KDJA amat penting dalam menjaga kebajikan wartawan-wartawan di Sarawak serta memberikan latihan serta aktiviti-aktiviti dalam mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara para pengamal media.

Pelbagai program dirangka antaranya Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2024 bertemakan ‘Evolusi Media dalam Era Digital’ turut berlangsung pada 26 hingga 27 Mei ini.

Apa yang menarik pada tahun ini, SMeC 2024 turut disertai oleh penuntut-penuntut dari institut pengajian tinggi untuk menimba ilmu pengetahuan dalam bidang kewartawanan.- EDISI UKAS