KUCHING: Program Sarawak Youth Startup (SYStartup) yang dilancarkan pada November 2024 kini menunjukkan hasil memberangsangkan dengan seramai 216 peserta telah berjaya memulakan perniagaan, manakala 106 daripadanya telah mendaftar secara rasmi dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata walaupun ramai peserta masih di peringkat perusahaan mikro, impak program ini terus memberikan kesan yang ketara terutamanya kepada yang baru menyertai bidang keusahawanan.
“Menariknya, sebanyak 98 syarikat permulaan telah mencipta peluang pekerjaan dengan menggaji sehingga tiga orang pekerja setiap satu-satu petunjuk jelas terhadap pertumbuhan awal dan penciptaan pekerjaan di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berucap demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Bagi mengekalkan momentum ini ujarnya, sesi ‘Meet and Greet’ telah dilaksanakan di Miri, Sibu, Sri Aman dan Kuching pada Mac dan April lalu bagi bertemu alumni, mengumpul maklum balas serta mengukuhkan jaringan mentor.
Dalam masa sama ujarnya, Program Startup Biz Initiative turut sedang dilaksanakan secara aktif di enam lokasi iaitu Kuching, Sri Aman, Sibu, Miri, Bintulu dan Limbang.
Katanya lagi, program ini menyediakan latihan praktikal dalam keusahawanan dan pemasaran digital bagi membolehkan alumni SYStartup meningkatkan keupayaan dan daya saing.
“Data yang diperoleh menerusi program ini akan dianalisis secara sistematik bagi merangka perancangan berasaskan bukti dan memperkukuh dasar bagi membina ekosistem keusahawanan yang lestari dan berdaya tahan,” kata beliau. -EDISI UKAS