KUCHING: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) terus memperkukuhkan strategi promosi pelancongannya dengan pendekatan berasaskan data melalui kajian pasaran yang menyeluruh dengan menjalankan empat kaji selidik pasaran semasa sesi B2B/B2C yang memfokuskan kepada pasaran Eropah, India, Indonesia dan domestik.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, prestasi destinasi Sarawak pada Mac 2025 amat memberangsangkan dengan Skor Pengalaman Keseluruhan (TES) sebanyak 8.7, meningkat berbanding tahun sebelumnya di mana skor tersebut adalah hasil gabungan penilaian berangka sebanyak 8.6 dan penilaian sentimen sebanyak 8.8.
“Penilaian ini menggambarkan tahap kepuasan pengunjung, manakala penilaian sentimen menganalisis nada emosi daripada ulasan pengunjung.
“Sumber yang digunakan bagi penilaian ini termasuklah Google Reviews, Agoda,
Booking.com, Ctrip, Traveloka, TripAdvisor, Expedia,
Hotels.com, Opentable dan Get Your Guide,” katanya dalam sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Tambahnya, lokasi geografi Sarawak muncul sebagai faktor tarikan utama dengan skor 9.1 untuk penilaian berangka dan sentimen, disertai peningkatan 28.5 peningkatan dalam ulasan atas talian.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, STB mengambil pendekatan yang lebih berani dan strategik dalam penyertaan pameran pelancongan pengguna dan perdagangan yang berimpak tinggi, bagi memperkukuh keterlihatan jenama dan memperluas kehadiran industri di platform berprestij seperti ITB Berlin, ITB China, ITB Asia, WTM London dan MATTA Fair Kuala Lumpur.
Jelasnya, STB telah berjaya melaksanakan 24 inisiatif pemasaran merangkumi pelbagai pasaran sasaran pada suku pertama tahun 2025. -EDISI UKAS