KUCHING: Muzium terus kekal menjadi tarikan utama kepada pengunjung di Sarawak sama ada dalam atau luar negeri untuk tahun ini selaras dengan usaha untuk sasaran empat juta pengunjung bagi tahun 2025.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Muzium Budaya Borneo (BCM) terus mencuri tumpuan sebagai destinasi pelancongan utama di Sarawak dengan mencatatkan 73,463 pengunjung dalam tempoh Januari hingga April tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan pengunjung sejak pembukaannya kini melebihi 1.3 juta orang.
“Muzium lain seperti Muzium Petroleum di Miri, Muzium Warisan Islam dan Muzium Sejarah Alam mencatat jumlah keseluruhan 124,594 pengunjung sejak Januari 2025, menunjukkan bahawa muzium dan galeri kekal sebagai tarikan utama di Sarawak,” katanya dalam sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Dato Sri Abdul Karim menambah, pameran ‘Pristine Seas: Bringing The Ocean Back’ hasil kerjasama JMS dan National Geographic yang berlangsung dari 28 Oktober 2024 hingga 13 April 2025 telah menarik 93,528 pengunjung.
Jelasnya, 14 tapak bersejarah telah digazetkan oleh JMS pada 12 Februari 2025, termasuk bangunan, monumen dan warisan bawah air dalam usaha memperkasakan Ordinan Warisan Sarawak (SHO 2019).
Selain itu, JMS juga terus mengukuhkan jaringan kerjasama dengan institusi antarabangsa, antaranya Galeri Nasional, Pusat Warisan Melayu, dan Pusat Pemuliharaan Warisan Singapura, Muzium British, Kedutaan Hungary di Malaysia, Universiti Debrecen, Hungary dan Sekolah Perancis Timur Jauh – Universiti PSL, Perancis.
“Pada 6 Januari 2025, JMS telah berjaya memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Muzium Sains Negara (NSM) Thailand dalam menjalin kerjasama strategik antarabangsa bagi perkongsian ilmu dan usaha pemuliharaan bersama.
“Selain kerjasama antarabangsa, JMS turut bekerjasama erat dengan agensi tempatan. Sehingga kini, JMS menjalinkan kolaborasi aktif bersama UNIMAS, UiTM, UKM, USM dan Universiti Sunway,” katanya. -EDISI UKAS