KUCHING: Jumlah kelulusan permohonan bagi program ‘Sarawak-Malaysia My Second Home’ (SMM2H) mencatat peningkatan ketara setelah Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) mengambil alih peranan untuk menguruskan program berkenaan.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peranan tersebut yang sebelum ini dipegang oleh Jabatan Imigresen Sarawak telah meluluskan sebanyak 1,240 permohonan telah meningkat kepada 1,901 pada hari ini.
Jelasnya, peningkatan dalam jumlah permohonan yang diluluskan telah membawa kesan ekonomi yang ketara kepada wilayah Sarawak, khususnya.
“Pada tahun 2024, sebanyak 560 permohonan telah diluluskan dengan jumlah Simpanan Tetap pemohon mencecah RM111.6 juta.
“Manakala dari Januari hingga pertengahan Mei tahun ini, sebanyak 265 permohonan telah diluluskan dengan jumlah Simpanan Tetap pemohon sebanyak RM65.3 juta,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Menjelas lanjut, Dato Sri Abdul Karim mendedahkan peserta tertinggi program ini berasal dari China iaitu seramai 513 orang, United Kingdom seramai 384 orang, Taiwan seramai 277, Hong Kong seramai 267 orang dan Amerika Syarikat seramai 262.
Perkara ini jelasnya hasil usaha MTCP menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Panel SMM2H dan Lesen Perniagaan Pelancongan tempatan bagi SMM2H di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) yang diberikan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada 30 Oktober 2024.
“Berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025, kami telah memperkenalkan kerangka pelesenan bagi ejen SMM2H di mana Panel Bank SMM2H telah ditubuhkan bagi menawarkan perkhidmatan khusus, termasuk memudahkan pembukaan akaun Simpanan Tetap (FD) serta pakej perbankan yang menarik bagi kemudahan pemohon,” jelasnya lagi. -EDISI UKAS