Pejabat Pentadbiran Lawas Dijangka Beroperasi Ogos Ini

Disiarkan pada 26 May 2025
Sumber Berita: ukas


LAWAS: Pejabat Pentadbiran Lawas yang baharu dijangka mula beroperasi pada Ogos tahun ini dalam usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan bermutu di kawasan tersebut.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bangunan baharu yang kini dalam peringkat akhir pembinaan itu bakal menempatkan 16 jabatan dan agensi kerajaan di bawah satu bumbung.

"Saya telah memberi beberapa cadangan untuk sedikit pengubahsuaian dan mungkin akan mengambil masa sedikit.
"Bangunan ini menempatkan 16 jabatan kerajaan dan juga agensi yang terlibat. Ia lengkap dengan fasiliti yang cukup baik seperti dewan, lif, escalator dan sebagainya.

"Saya harap bangunan ini dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan," katanya berucap dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan pada Ahad.

Dengan siapnya bangunan ini kelak ujarnya, kehadiran pelbagai jabatan dan agensi di bawah satu bumbung bukan sahaja memberi kemudahan kepada masyarakat, malah berupaya meningkatkan kerjasama antara jabatan serta menjamin penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu menegaskan agar penggunaan teknologi baharu diberi perhatian dalam pembangunan kemudahan pejabat itu bagi menyokong kecekapan kerja serta memenuhi keperluan perkhidmatan awam masa kini.

"Saya mengharapkan dengan kemudahan sebegini, kerjasama antara jabatan akan lebih baik lagi serta penyampaian perkhidmatan yang lebih baik dan cekap kepada masyarakat," tegasnya.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi; Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok; Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awgku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa; dan Jurutera Bahagian Limbang, Ir Mahathir Jokeni. -EDISI UKAS