RM520,000 Geran MRP Disalur kepada Komuniti Saribas, Bukti Komitmen Pembangunan Seimbang

Disiarkan pada 26 May 2025
Sumber Berita: UKAS


SARIBAS: Sebanyak RM520,000 disalurkan kepada 65 penerima merangkumi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), masjid, surau dan Lembaga Amanah Bungin dalam Majlis Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi kawasan Saribas.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam di Dewan Millennia, Debak pada Sabtu.

Menurut beliau, peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa komuniti tempatan melalui sokongan terhadap aktiviti kebajikan dan keagamaan, terutama menjelang musim ibadah korban.

“Ini merupakan program tahunan yang kita laksanakan. Hari ini kita sampaikan bantuan kepada JKKK, masjid dan surau yang terdapat di seluruh kawasan Saribas,” katanya.

Datuk Mohammad Razi turut menekankan bahawa penyerahan geran ini tidak bersifat eksklusif kepada mana-mana kaum atau agama sahaja, tetapi meliputi semua komuniti di Saribas termasuk rumah panjang dan pertubuhan bukan Islam.

“Contohnya, semalam saya turut menyerahkan sumbangan untuk sambutan Gawai. Kita mahu semua mendapat manfaat tanpa mengira latar belakang,” tambahnya.

Beliau menegaskan, langkah ini selari dengan dasar pembangunan inklusif Kerajaan Sarawak yang menitikberatkan keseimbangan bantuan serta penyertaan masyarakat dalam arus pembangunan.

Majlis turut dihadiri pemimpin-pemimpin tempatan dan wakil penerima geran MRP yang hadir menerima sumbangan masing-masing dalam suasana penuh mesra dan muafakat.-EDISI UKAS