Larian Baton SOPMA 2025 Perkasa Komuniti Pekak, Tarik Sokongan Masyarakat Sibu

Posted on 26 May 2025
Source of News: ukas


SIBU: Larian Baton SOPMA 2025 anjuran Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak (SSDeaf) berlangsung meriah di Dataran Tuanku Haji Bujang Fasa 1, menghimpunkan lebih 200 peserta termasuk komuniti pekak, sukarelawan dan pemimpin masyarakat tempatan.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, yang turut memuji usaha SSDeaf memperkasa komuniti pekak menerusi platform sukan.

“Program seperti ini bukan sahaja mencungkil bakat tetapi memberi semangat kepada mereka yang mungkin sebelum ini kurang keyakinan untuk tampil di khalayak. Ia juga menjadi jambatan interaksi antara komuniti pekak dan masyarakat umum,” katanya dalam ucapan perasmian program berkenaan pada Ahad.

Beliau turut menyatakan kebanggaannya terhadap pencapaian atlet pekak Sarawak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, antaranya Mohd Jafar Isa dari Sibu yang mewakili negeri dalam sukan bola sepak.

Datuk Michael Tiang juga menekankan keperluan kerjasama bersepadu antara kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan komuniti pekak tidak terus terpinggir.

“Kerajaan Sarawak komited menjaga kebajikan rakyat termasuk golongan pekak, namun sinergi pelbagai pihak diperlukan bagi menjayakan pembangunan masyarakat yang benar-benar inklusif,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyuarakan harapan agar atlet pekak Sarawak menyerlah dalam temasya SOPMA 2025 dan terus membawa nama negeri ke peringkat lebih tinggi.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clarence Ting Ing Horh; Presiden SSDeaf, Ko Ming Liang; Pengerusi Penganjur, Victor Hii; serta rakan strategik acara, Mr Ryan Jee.-EDISI UKAS