BAU: Sempena sambutan perayaan Gawai yang menjelang tiba, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep tampil menyalurkan sumbangan duit Gawai kepada para pesakit di Hospital Bau pada Isnin.
Dalam lawatan, Dato Henry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, meluangkan masa menziarahi pesakit di wad lelaki, wad perempuan, wad bersalin dan wad kanak-kanak sambil menyerahkan sumbangan duit Gawai.
Sumbangan itu bukan sahaja bertujuan menceriakan suasana pesakit menjelang perayaan, malah sebagai tanda keprihatinan beliau terhadap komuniti setempat yang memerlukan.
"Walaupun mereka menyambut Gawai dalam suasana yang serba sederhana di hospital, saya harap sumbangan kecil ini dapat memberi kegembiraan dan semangat kepada mereka serta keluarga," ujarnya.
Dalam lawatan sama, beliau turut meluluskan peruntukan untuk memasang seunit penghawa dingin baharu di bilik rawatan wad kanak-kanak bagi menggantikan unit lama yang telah rosak.
Terdahulu, beliau menyaksikan majlis penyerahan peralatan perubatan kepada Hospital Bau daripada Pertubuhan Rotary Bandar Kuching dengan kerjasama The Malaysian Church of Jesus Christ Of Latter-day Saints.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Hospital Bau, Jasmany Liboh; Pegawai Perubatan Hospital Bau, Dr. Elsa-Preeti Davis; wakil Pegawai Daerah Bau, Saffika Kueh; Bekas Presiden Pertubuhan Rotary Bandar Kuching, Andre Suharto; serta wakil dari The Malaysian Church of Jesus Christ Of Latter-day Saints, Elder Larry dan Sister Yevette Hattaway. -EDISI UKAS