Sarawak Semak Semula Adat Tradisional Bagi Sesuaikan Dengan Keperluan Semasa

Posted on 26 May 2025
Source of News: ukas


KUCHING: Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) kini giat menyemak dan mengemaskini pelbagai kod adat tradisional komuniti peribumi di negeri ini agar selari dengan perkembangan semasa dan keperluan masyarakat masa kini.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, antara kod adat yang sedang disemak semula termasuklah Adat Iban 1993, Adat Bidayuh 1994, Adet Kayan-Kenyah 1994, Adat Lun Bawang 2004 dan Adat Bisaya 2004.

“Bagi Adat Iban, fokus utama semakan melibatkan aspek Adat Berumah Begulai Bebala Maioh (penempatan komuniti), Adat Ruang Bilik (hal keluarga), Adat Tanah (harta) dan Adat Renchit (pelbagai),” katanya ketika sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Isnin.

Tambah beliau, tiga bengkel telah diadakan setakat ini bagi membincangkan deraf semakan adat tersebut bersama pemimpin masyarakat Iban dari seluruh Sarawak.

“Bengkel pertama diadakan di Miri melibatkan Bahagian Limbang, Miri dan Bintulu, manakala bengkel kedua berlangsung di Sibu melibatkan pemimpin dari Sibu, Sarikei, Kapit dan Mukah. Bengkel ketiga pula diadakan di Kuching yang menghimpunkan wakil dari Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong.

“Tujuan bengkel ini adalah untuk mengesahkan ketepatan data dalam deraf kod adat yang baharu sebelum dipersembahkan kepada Majlis,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata antara semakan adat yang sedang dijalankan melibatkan adat pengangkatan dalam komuniti Iban yang sebelum ini hanya membenarkan pengangkatan kanak-kanak bawah 18 tahun.

“Namun, praktik sebenar turut merangkumi pengangkatan orang dewasa, termasuk secara anumerta bagi meneruskan keturunan keluarga, dikenali sebagai nampung bilik punas.

“Bagi komuniti Bidayuh, semakan tertumpu kepada hal kekeluargaan, penempatan dan harta. Sesi libat urus telah diadakan di Kuching bersama pemimpin masyarakat dari Serian dan Kuching.

“Antara semakan melibatkan Adat Parih Ramban (berkabung), yang melarang hiburan sepanjang tempoh berkabung. Namun, larangan boleh ditangguh jika majlis telah dirancang lebih awal, dengan membayar denda adat kepada keluarga si mati (Adat Pintahak Omon Bateh),” katanya.

Sementara itu, Dato Sri John Sikie menjelaskan semakan ke atas Adet Kayan-Kenyah sedang dijalankan, dengan cadangan memecahkannya kepada dua kod berasingan Adet Kayan dan Adet Kenyah, demi menghormati identiti masing-masing.

Bagi Lun Bawang katanya, penyesuaian melibatkan adat mas kahwin, yang sebelum ini mewajibkan pemberian kerbau hidup. Kini, syarat itu dicadang diganti dengan wang tunai berdasarkan persetujuan kedua-dua keluarga.-EDISI UKAS