Kuching Marathon Edisi Ke-9 Kembali 27 Oktober Depan

Disiarkan pada 16 May 2024
Sumber Berita: UKAS




KUCHING: Acara larian terbesar, Kuching Marathon Edisi Ke-9 anjuran Persatuan Kuching Marathon kembali memeriahkan bandar ini pada 27 Oktober depan bertempat di Padang Merdeka.

Seperti sebelumnya, penganjuran kali ini akan menampilkan empat kategori utama iaitu ‘Full Marathon’ sejauh 42.195 kilometer, Kuching ‘Half Marathon’ 21 kilometer, Kuching 10 Kilometer dan Kuching 5 Kilometer.

Menurut pihak penganjur, Kuching Marathon Edisi Ke-9 merupakan yang terbesar pernah diadakan dengan penyertaan seramai 17,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Ia menawarkan hadiah wang tunai terbanyak berjumlah RM125,000, melebihi RM25,000 daripada penganjurannya pada edisi yang lalu.

Peserta yang sudah membuat pendaftaran boleh mengambil kit perlumbaan mereka di Majma Mall pada 24 hingga 26 October sebelum bermulanya acara pada keesokan harinya. -EDISI UKAS