KUCHING: Pelantikan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) sebagai ahli dalam Jawatankuasa Semakan dan Pembaharuan Undang-Undang Maritim Malaysia (MLRRC) membolehkan wilayah ini menyemak dan mengkaji semula perundangan maritim sedia ada.
Menterinya, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, lantikan ini turut melibatkan Jabatan Peguam Besar Sarawak yang telah diluluskan Jemaah Menteri Persekutuan pada 25 Mac 2025.
Katanya, ia memudahkan Sarawak membuat semakan dan pemodenan undang-undang maritim Malaysia bagi memastikan rangka kerja perundangan negara kekal relevan, berpandangan ke hadapan dan berdaya saing dalam landskap maritim yang sentiasa berkembang.
“Sebagai sebahagian daripada jawatankuasa ini, MOTS akan secara aktif menyumbang input dasar dan cadangan teknikal bagi memastikan kepentingan Sarawak serta persekitaran pengangkutan sungai yang unik di negeri ini diwakili dengan sewajarnya dalam rangka kerja perundangan maritim negara,” katanya semasa sesi penggulungan MOTS dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Isnin.
Dato Sri Lee menegaskan, pemodengan undang-undang berkaitan amat penting dalam memperkukuhkan keselamatan dan kelestarian sistem pengangkutan sungai di Sarawak.
Menurutnya, sungai masih berfungsi sebagai mod pengangkutan yang penting bagi komuniti luar bandar dan pesisir pantai yang menyokong pergerakan, aktiviti ekonomi dan kehidupan seharian.
“Sebagai sebahagian daripada jawatankuasa ini, MOTS akan secara aktif menyumbang input dasar dan cadangan teknikal bagi memastikan kepentingan Sarawak serta persekitaran pengangkutan sungai yang unik di wilayah ini diwakili dengan sewajarnya dalam rangka kerja perundangan maritim negara,” tegasnya lagi.
Hal ini katanya untuk memastikan pelaksanaan yang berkesan di peringkat operasi sekaligus menyelaraskan pembangunan pengangkutan Sarawak dengan sasaran global dan menyumbang kepada dasar maritim di peringkat nasional. -EDISI UKAS