Liputan Kemudahan Asas Dipertingkat Di Kawasan Luar Bandar

Disiarkan pada 26 May 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak terus berusaha memperkukuh penyediaan empat kemudahan asas utama iaitu bekalan air, bekalan elektrik, pengedaran gas dan kemudahan telekomunikasi di seluruh wilayah ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pelan induk bekalan air Sarawak kini sedang giat dilaksanakan dengan pendekatan pembahagian kepada tiga wilayah iaitu Selatan, Tengah dan Utara.

“Wilayah Selatan telah memulakan usaha menaik taraf loji rawatan air sedia ada dan menyambung sistem grid air dengan pemasangan paip yang akan diperluaskan ke wilayah Tengah dan Utara.

"Ini sebahagian daripada usaha menyeluruh memastikan liputan bekalan air yang efisien,” katanya dalam sidang media selepas sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini pada Isnin.

Sementara itu, dalam aspek bekalan elektrik, Dato Sri Julaihi memberitahu, Sarawak kini menjana 5,898 Megawatt tenaga elektrik, berbanding keperluan semasa sekitar 4,800 Megawatt.

Menurut beliau, ini menunjukkan Sarawak memiliki lebihan tenaga yang mencukupi, terutama untuk memperluas capaian di kawasan luar bandar melalui program Dana Permohonan Tambahan atau Lewat (ALAF).

“Bekalan mencukupi, namun pelaksanaan masih berjalan secara berperingkat kerana keluasan Sarawak yang besar.
"Kita sedang laksanakan program ini secara agresif di seluruh Sarawak” tambahnya.

Mengenai pengedaran gas, Dato Sri Julaihi menyatakan bahawa isu berkenaan semakin reda selepas pelaksanaan deklarasi bersama di peringkat nasional, yang membantu menstabilkan keadaan.

Sementara itu, dalam sektor telekomunikasi pula, beliau menjelaskan bahawa liputan di Sarawak semakin meningkat menerusi program intervensi kerajaan Sarawak, Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN).

“Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM2.3 bilion bagi pelaksanaan Program SALURAN, antaranya termasuk pembinaan Menara Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) di kawasan luar bandar.

"Kita pastikan tiada pertindihan dengan menara di bawah Program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) supaya liputan benar-benar berkesan,” ujarnya lagi.

Beliau menegaskan bahawa usaha ini penting bagi memastikan kawasan luar bandar tidak tertinggal dan dapat menikmati kemajuan secara bersama, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan pembangunan yang inklusif.-EDISI UKAS