Pengambilalihan penuh MASwings dijangka selesai 31 Disember 2025

Disiarkan pada 26 May 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Proses pengambilalihan penuh syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd oleh AirBorneo Holdings dijangka selesai sepenuhnya menjelang 31 Disember 2025.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ketika ini, semua pihak berkepentingan sedang giat melaksanakan langkah-langkah utama termasuk mendapatkan kelulusan regulatori, pemindahan aset operasi daripada MAG kepada AirBorneo serta pelaksanaan strategi bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar.

Menurut beliau, pengambilalihan itu susulan kejayaan penandatanganan Perjanjian Pembelian Saham antara Kerajaan Sarawak dan MAG pada 12 Februari lalu.

Tambah beliau, proses peralihan ini melibatkan pelbagai kerja teknikal dan operasi yang kompleks, namun dijalankan secara berperingkat dan teratur bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada rakyat.

“Langkah ini adalah manifestasi komitmen Kerajaan Sarawak untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri demi memperkukuh keterhubungan udara di wilayah ini serta memacu pembangunan sektor pelancongan, ekonomi dan logistik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Isnin.

Katanya, AirBorneo bakal menjadi syarikat penerbangan milik penuh negeri Sarawak dan dijangka memainkan peranan penting sebagai pemangkin pertumbuhan industri aeroangkasa dan keterhubungan mampan di rantau Borneo.

Bagi memperkenalkan identiti AirBorneo, satu pertandingan reka bentuk logo dan livery telah dilancarkan pada 5 Mac lalu dan berjaya menarik hampir 1,000 penyertaan dari seluruh negara.

“Reka bentuk pemenang akan dipilih dan disempurnakan, mewakili warisan budaya serta visi progresif Sarawak melalui sentuhan kreatif anak tempatan,” ujarnya lagi. – EDISI UKAS