Lapangan Terbang Baharu Kuching Terap Fasiliti Pintar, Futuristik

Posted on 26 May 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Pembinaan lapangan terbang baharu Kuching akan menerapkan kemudahan pintar dan futuristik, sejajar dengan agenda pendigitalan Sarawak serta trend global industri penerbangan.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penggunaan teknologi terkini termasuk Kecerdasan Buatan (AI) bakal diterapkan bagi menjamin pengalaman perjalanan yang lancar dan cekap kepada para pengguna.

Beliau berkata, pembangunan lapangan terbang baharu ini merupakan projek strategik yang akan menjadi pemangkin transformasi ekonomi jangka panjang Sarawak serta memperkukuh kesalinghubungan udara negeri ini.

“Projek ini akan membuka peluang baharu dan meletakkan Sarawak sebagai hab penerbangan serantau di Borneo,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Isnin.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah melantik perunding antarabangsa secara kerjasama dengan perunding tempatan bagi menjalankan Kajian Tapak dan Kebolehlaksanaan, sebagai langkah awal projek berkenaan.

Katanya, fasa seterusnya di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 akan melibatkan penyediaan pelan induk pembangunan aerotropolis secara menyeluruh yang termasuk reka bentuk terminal, sistem landasan, kemudahan airside dan landside, kesalinghubungan pelbagai mod serta potensi perkembangan jangka panjang.

Mengulas cadangan supaya kajian kebolehlaksanaan dilakukan secara menyeluruh, beliau menegaskan bahawa pelantikan perunding sudah pun dibuat, dan sebarang anggaran kos hanya boleh ditentukan selepas kajian tersebut siap.

“Pembangunan ini adalah bukti komitmen Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak untuk menyediakan infrastruktur moden yang menyokong pertumbuhan ekonomi masa hadapan,” tambah beliau.

Sementara itu, Dato Sri Lee menyatakan Kerajaan Persekutuan telah meluluskan kerja-kerja naik taraf STOLport Bario, susulan beberapa sesi libat urus antara Kementerian Pengangkutan Sarawak dan Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Beliau berkata, langkah ini diambil bagi meningkatkan kecekapan operasi dan keselamatan penerbangan, memandangkan landasan sedia ada tertakluk kepada sekatan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), yang menghadkan kapasiti penumpang kepada hanya sembilan orang bagi setiap penerbangan.

“Kerja-kerja naik taraf yang dimulakan pada September 2024 oleh JKR Sarawak dijadual siap pada Mac 2026,” jelas beliau sambil menambah

Skop projek merangkumi pemanjangan landasan daripada 671 meter kepada 930 meter, termasuk sambungan berturap sepanjang 259 meter dan clearway sepanjang 412 meter.

“Apabila siap kelak, STOLport yang dinaik taraf ini akan dapat menampung pesawat sehingga 19 penumpang, sekali gus mempertingkat akses udara bagi komuniti tanah tinggi Bario,” katanya.-EDISI UKAS