Kemudahan Baharu SK Sungai Petai Manfaatkan Pelajar, Komuniti

Posted on 26 May 2025
Source of News: UKAS


SARIKEI: Pembinaan gelanggang serbaguna baharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Petai bukan sahaja memberi nilai tambah kepada warga sekolah, malah turut membuka ruang kepada komuniti setempat untuk menjalankan pelbagai aktiviti sosial dan rekreasi.

Kemudahan tersebut dibina menerusi peruntukan sebanyak RM180,000 yang disalurkan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Menurut Dato’ Sri Huang, penyediaan prasarana sukan yang lengkap di sekolah luar bandar merupakan satu pelaburan penting, bukan hanya dalam membina sahsiah dan kecergasan pelajar, malah turut mengeratkan hubungan antara sekolah dan masyarakat sekeliling.

“Gelanggang ini bukan sekadar menjadi tempat murid menjalankan aktiviti kokurikulum, tetapi juga boleh dimanfaatkan oleh komuniti untuk aktiviti rekreasi dan mengeratkan silaturahim.

“Ini secara tidak langsung menjadikan sekolah sebagai pusat pembangunan sosial yang inklusif,” katanya ketika merasmikan gelanggang berkenaan pada Sabtu.

Beliau turut menekankan bahawa kemudahan tersebut berperanan besar dalam membentuk generasi pelajar yang berdisiplin, berdaya saing dan mempunyai semangat kesukanan tinggi.

“Infrastruktur seperti ini menjadi wadah dalam memupuk nilai kepimpinan, semangat berpasukan dan jati diri dalam kalangan pelajar,” ujarnya.

Pembinaan gelanggang itu juga, tambah beliau, mencerminkan iltizam berterusan pihak sekolah dan penduduk dalam memacu pembangunan pelajar secara holistik, merangkumi aspek akademik, fizikal, mental dan sosial. - EDISI UKAS