Beban Kes Tertunggak Hampiri 5,000, Hadapi Cabaran Kekurangan Majistret

Disiarkan pada 26 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Mahkamah Anak Negeri Sarawak terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam melaksanakan tugas kehakiman, namun masih berdepan cabaran besar dengan hampir 5,000 kes tertunggak akibat kekurangan majistret.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata walaupun para pegawai kehakiman telah menjalankan tugas dengan dedikasi dan integriti tinggi, Mahkamah Anak Negeri masih dibebani 4,996 kes tertunggak setakat 30 April 2025.

“Ketika ini, Mahkamah Anak Negeri hanya mempunyai lima majistret di peringkat daerah, seorang majistret di peringkat residen dan seorang Presiden Mahkamah Rayuan Anak Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Isnin.

Tambah beliau, masalah ini diburukkan lagi apabila lapan majistret tidak lagi berkhidmat sejak akhir tahun lalu, selepas kontrak mereka tidak disambung atas faktor umur dan kesihatan.

Kekosongan itu jelas beliau, memberi tekanan besar kepada kelancaran perkhidmatan dan pengurusan kes.

Dalam masa sama, Jabatan Pendaftar Utama kini bekerjasama rapat dengan Unit Pembangunan dan Pengurusan Sumber Manusia Negeri bagi mengenal pasti calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan.

Namun, tempoh kontrak majistret yang singkat iaitu hanya satu tahun menjadi penghalang utama untuk menarik calon berkelayakan, terutama dalam bidang perundangan.

“Sehubungan itu, dicadangkan supaya tempoh kontrak bagi majistret baharu dilanjutkan dengan pilihan untuk diperbaharui berdasarkan prestasi,” tambahnya.

Langkah ini katanya diharap dapat memperkukuh sistem kehakiman Mahkamah Anak Negeri dan mempercepat penyelesaian kes-kes tertunggak demi keadilan kepada komuniti peribumi di Sarawak.-EDISI UKAS