MUTS Tingkatkan Penggunaan Gas Asli Di Sarawak

Disiarkan pada 26 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) menerusi Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) giat menjalankan usaha berterusan bagi meningkatkan penggunaan gas asli di Sarawak selaras dengan Sarawak Gas Roadmap (SGR).

Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pelan SGR ini merangkumi empat hab strategik di Miri, Samalaju, Bintulu dan Kuching melalui beberapa inisiatif awal.

“Antaranya, projek 500 megawatt (MW) Combined Cycle Power Plant (CCPP) di Miri, Projek Bintulu - Samalaju Gas Pipeline sepanjang 65 kilometer yang kini sedang dibina, dan Projek Perintis PETROS iaitu Sarawak Virtual Pipeline System (VPS) yang akan membekalkan Gas Asli Cecair (LNG) dari Bintulu ke Kuching.

“Selain itu, projek Kuching Low-Carbon Hub kini dalam peringkat penyediaan pelan induk, Program Gas Direct to Kitchen di Taman Ceria di Permyjaya, Miri, dan projek rangkaian saluran paip gas asli di Bintulu yang akan dibina secara berfasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa sesi pergulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.

Tambahnya, dengan kewujudan loji metanol yang pertama milik Sarawak iaitu Sarawak Petchem Sdn. Bhd. telah berjaya meningkatkan kegunaan domestik gas asli daripada enam peratus kepada tujuh peratus setakat suku keempat tahun 2024.

Jelas beliau, walaupun peningkatan kegunaan domestik gas asli hanya satu peratus, loji tersebut mampu menyediakan 1,000 peluang pekerjaan di mana pengurusan dan operasinya dilaksanakan oleh 100 peratus anak Sarawak.

“Ini membuktikan Sarawak mempunyai kepakaran di dalam bidang project financing, pengurusan projek berskala besar dan operasi teknologi tinggi industri petrokimia, minyak dan gas.

“Inisiatif-inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelan SGR yang bertujuan meningkatkan penggunaan gas domestik sedia ada kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang tahun 2030,” katanya lagi. -EDISI UKAS