KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meneliti semula permintaan kenaikan gaji Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di wilayah ini dengan mengambilkira kepentingan serta tanggungjawab KMKK yang semakin bertambah.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, perkara ini wajar dipertimbangkan memandangkan kali terakhir Kerajaan Sarawak membuat penyelarasan adalah pada tahun 2018 yang melibatkan kenaikan sebanyak RM100.
Susulan ini katanya, cadangan bagi kenaikan kadar baharu gaji KMKK akan dibentangkan semula dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Hal Ehwal KMKK dan Jawatankuasa pada suku ketiga tahun ini.
“Ini bagi memastikan kadar yang dicadangkan adalah munasabah dan bersesuaian dengan tanggungjawab serta peranan yang dipikul oleh Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi pergulungan kementeriannya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19, pada Isnin.
Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Sarawak peka terhadap keperluan penambahan jawatan KMKK di seluruh Sarawak untuk mempertingkatkan lagi keberkesanan penyampaian perkhidmatan Kerajaan kepada rakyat.
Menurut Dato Sri John Sikie, setakat ini Kerajaan Sarawak telah menerima sebanyak 923 permohonan cadangan pewujudan jawatan baharu KMKK dari semua bahagian di seluruh Sarawak.
“Kesemua permohonan ini telahpun diteliti dengan mengambil kira garis panduan umum merangkumi keluasan kawasan, jumlah penduduk dan pertambahan bilangan rumah di kawasan tersebut.
“Permohonan-permohonan ini akan dibentangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Hal Ehwal Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum pada suku tahun ketiga 2025,” jelasnya lagi.
Tegasnya, kriteria umum bagi pewujudan jawatan baharu Ketua Kaum yang digunapakai di seluruh Sarawak hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya 20 buah pintu atau rumah bagi sesebuah rumah panjang atau kampung. -EDISI UKAS