KUCHING: Pembinaan Pusat Sains Sarawak kini mencapai kemajuan 65 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung Disember 2025.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pembukaan awal juga dirancang pada suku pertama tahun 2026.
“Ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha negeri ini memacu pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Sebagai sebahagian daripada inisiatif di bawah Pusat Sains Sarawak, sebuah hab satelit turut sedang dibangunkan di Loji Perintis Biovalley Sarawak di Miri yang akan menempatkan Makmal Sains Umum pertama seumpamanya di negeri ini,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.
Jelasnya, makmal tersebut akan menjadi platform pembelajaran berimpak tinggi kepada para pelajar sekitar Miri, khususnya untuk menjalankan eksperimen sains yang tidak dapat dilaksanakan di peringkat sekolah.
Ia turut dijangka meningkatkan akses kepada kemudahan pembelajaran sains yang lebih moden dan bersesuaian dengan perkembangan semasa.
“Langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperluaskan capaian pendidikan sains berkualiti, sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan agenda transformasi pendidikan negeri,”ujarnya lagi.
Tambahnya, Pusat Sains Sarawak bakal menjadi pemangkin kepada budaya inovasi dan penyelidikan dalam kalangan generasi muda, di samping memperkukuh ekosistem pembelajaran STEM di Sarawak.-EDISI UKAS