Pelbagai Projek Pendidikan Dilulus Di Bawah RMK-12 & RMK-13

Disiarkan pada 26 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak terus menzahirkan komitmen teguh dalam memperkukuh sistem pendidikan di wilayah ini dengan meluluskan pelbagai projek pembinaan dan naik taraf sekolah di kawasan luar bandar melalui pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan RMK-13.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato’ Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek-projek tersebut merangkumi kawasan strategik seperti Daro, Tellian, Jepak, Bukit Semuja, Krian, Opar, Ngemah, Balingian, Ba’kelalan, Bukit Begunan, Meradong dan Tanjong Datu.

Menurutnya, di Daro antara yang diluluskan termasuk projek khas untuk Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah, di bawah RMK-12, Rolling Plan Keempat (RP4).

Selain itu, pembinaan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Lassa juga diberi kelulusan di bawah RMK-12, Rolling Plan Kelima (RP5).

"Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) kini dalam peringkat perancangan untuk menubuhkan sebuah pusat khas bagi pelajar Tingkatan Enam yang akan dikemukakan di bawah Rancangan Malaysia akan datang setelah skop projek, tapak dan keperluan dimuktamadkan,"katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Isnin.

Dato Sri Roland menambah, di kawasan Tellian pula, kerajaan telah meluluskan pembinaan serta naik taraf SK Mukah dan SMK Mukah d bawah RMK-12.

"Selain itu, SK Dua Sungai dan SK Kampung Petanak turut menerima pembaharuan, dan projek-projek ini dijangka siap serta diserahkan kepada JPNS pada Jun 2025," ujar beliau.

Tidak ketinggalan, SK Sungai Setulan di Jepak juga mendapat kelulusan di bawah rancangan ini.

Dato’ Sri Roland menambah, di bawah RMK-13, pembinaan SMK Serian No. 2 dan SK Sri Sadong di Bukit Semuja telah diketengahkan, selain naik taraf SK Kabo Ulu di Krian serta pembinaan SK Selampit di Lundu.

Katanya, ini termasuk SK Sungai Badengan di Balingian yang kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada suku keempat 2026.

"Kerajaan Sarawak juga berinisiatif memindahkan sekolah yang terdedah risiko banjir di Ngemah dan mencadangkan bekas tapak SMK Datuk Haji Abdul Rahman Yakub (SEDAYA) dijadikan pusat latihan kemahiran bagi memperluaskan peluang pembelajaran kemahiran kepada pelajar,"tambah beliau.

Sementara itu ujarnya lagi, di Ba’kelalan, proses pengambilan tanah bagi projek SK Long Sukang dan SMK Long Semadoh kini sedang dipergiatkan, di samping kerja-kerja perobohan di SK Tanjong Bijat, Bukit Begunan akan dimulakan setelah pemeriksaan oleh JPNS dijalankan. -EDISI UKAS