Yang di-Pertua Negeri Sarawak Terima Kunjungan Hormat Delegasi UPM

Posted on 26 May 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada delegasi Universiti Putra Malaysia (UPM) di Astana Negeri Sarawak, Petra Jaya pada Isnin.

Kunjungan diketuai oleh Pro-Canselor UPM, Tan Sri Peter Chin Fah Kui, bertujuan menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Wan Junaidi untuk menghadiri Majlis Pengisytiharan UPM Sarawak di Istana Alam Shah, Klang yang akan diadakan pada 30 Jun akan datang.

Semasa pertemuan, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut dimaklumkan mengenai pelantikan Peter Chin sebagai Pro-Canselor baharu UPM berkuat kuasa mulai 18 Oktober 2024.

Pelantikan berkenaan melambangkan komitmen berterusan UPM dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan kepimpinan Sarawak, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan pembangunan komuniti.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Profesor Emeritus Dato Dr Ibrahim Komoo; Naib Canselor UPM, Dato Profesor Ir Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Pengarah Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB), Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini serta ahli-ahli delegasi UPM yang lain. -EDISI UKAS