LAWAS: Suasana penuh warna-warni dan semangat muhibah menyelubungi Arena Lawas apabila masyarakat pelbagai kaum berhimpun menjayakan Majlis Line & Folk Dance Exchange Lawas 2025, satu program yang meraikan kepelbagaian budaya sambil memperkukuh keharmonian komuniti.
Majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan, Kebudayaan dan Ekspedisi Kaum Cina Lawas pada Sabtu itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang menekankan pentingnya nilai saling menghormati dan menyifatkan masyarakat Lawas sebagai “sebuah taman yang dipenuhi bunga berwarna-warni” iaitu lambang kemajmukan yang harus dipelihara.
“Walaupun kita berbeza dari segi kepercayaan, bahasa, budaya, namun kita dapat bersatu dan saling hormat menghormati.
"Inilah keceriaan dan kebahagiaan hidup kita,” ujar beliau dalam ucapan perasmian.
Lebih menarik, majlis turut menyaksikan penyertaan peserta dari Brunei, Sabah dan Labuan, mencerminkan keterbukaan Lawas kepada pertukaran budaya dan semangat serantau.
Pelbagai persembahan termasuk tarian budaya dan senaman, serta gabungan peserta dari pelbagai latar belakang, menambah seri program.
Beliau turut mencuri perhatian apabila menyampaikan sebuah lagu sambil diiringi tarian para peserta, menghidupkan lagi suasana dan mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.-EDISI UKAS