Pelaut 'Wira Tidak Kelihatan': Seminar Maritim Seru Pengiktirafan dan Perlindungan Menyeluruh

Posted on 26 May 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Masyarakat diseru agar menghargai sumbangan golongan pelaut yang bukan sekadar tenaga kerja industri, tetapi sebagai “wira tidak kelihatan” yang menjadi tunjang kepada kelangsungan rantaian bekalan negara.

Ia disuarakan oleh Ketua Pengarah Laut, Datuk Dickson Dollah dalam ucapan perasmiannya di Seminar Buruh Maritim Malaysia 2025 yang berlangsung di Pullman Hotel Miri pada Isnin.

Seminar anjuran National Union of Seafarers Peninsular Malaysia (NUSPM) itu menghimpunkan lebih 110 peserta daripada pelbagai sektor termasuk agensi kerajaan, institusi latihan, dan syarikat perkapalan dalam usaha menyelaras hala tuju buruh maritim negara ke arah yang lebih progresif.

Datuk Dickson dalam ucapannya menekankan kepentingan memperkasa pelaut dari pelbagai aspek, khususnya melalui latihan kemahiran baharu, perlindungan sosial serta perhatian terhadap kesihatan mental.

“Pelaut kita adalah 'wira tidak kelihatan' yang memastikan kelangsungan rantaian bekalan negara.

"Sudah tiba masanya mereka dihargai bukan sahaja dengan gaji yang adil, malah dengan martabat dan sokongan menyeluruh,” katanya.

Beliau turut menggariskan tiga tonggak utama sektor maritim yang harus diberi perhatian iaitu inovasi pelabuhan pintar dan automasi,
pemberdayaan golongan pelaut dan
Pemantapan kebajikan maritim melalui sokongan institusi.

Antara isu utama yang dibincangkan termasuk cabaran digitalisasi pelabuhan, piawaian keselamatan siber, pematuhan terhadap Konvensyen Buruh Maritim (MLC 2006), serta keperluan pelaburan dalam pembangunan tenaga kerja maritim.

Selain itu, seminar tersebut turut menampilkan pembentangan oleh pakar industri serta sesi panel melibatkan wakil daripada Lembaga Pelabuhan Klang, Jabatan Imigresen, LHDN, KWSP dan lain-lain dalam membincangkan pelbagai aspek kebajikan dan perundangan yang melibatkan pelaut.

Peranan agensi seperti Jabatan Tenaga Kerja Sarawak dan PERKESO turut mendapat pujian, khususnya dalam memperluaskan perlindungan sosial kepada pelaut menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) serta penambahbaikan proses tuntutan.-EDISI UKAS