MUT Komited Tegakkan Undang-Undang Industri Gas di Sarawak

Posted on 26 May 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) menegaskan komitmennya dalam memastikan segala undang-undang dan peraturan yang mentadbir industri pengedaran gas di Sarawak dipatuhi sepenuhnya.

Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pengawalseliaan aktiviti pengedaran gas di negeri ini tertakluk kepada Distribution of Gas Ordinance (DGO) 2016, yang fungsinya setara kepada Akta Bekalan Gas 1993 di peringkat Persekutuan namun tidak terpakai di Sarawak.

“Berbeza dengan negeri-negeri lain di Malaysia, di mana Suruhanjaya Tenaga yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 bertindak sebagai pihak berkuasa kawal selia, di Sarawak, tanggungjawab tersebut terletak kepada Pengarah Pengedaran Gas yang dilantik di bawah Ordinan Pengedaran Gas 2016,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa sesi pergulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.

Ujarnya, Pengarah Pengedaran Gas bertanggungjawab memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap semua keperluan pelesenan, serta mempunyai kuasa untuk mengenakan penalti kewangan terhadap sebarang ketidakpatuhan, tanpa menjejaskan sebarang prosiding pendakwaan yang boleh diambil oleh pihak berkuasa berkaitan.

Justeru katanya, setiap pihak yang terlibat dalam aktiviti pengagihan dan pembekalan gas diwajibkan memohon lesen di bawah Seksyen 7, Ordinan Pengedaran Gas 2016 (DGO 2016).

Kegagalan mematuhi keperluan pelesenan ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 20 (jenayah) atau Seksyen 21A (tuntutan sivil) ordinan tersebut, dan boleh dikenakan denda, hukuman penjara, atau kedua-duanya sekali.

“Untuk makluman Ahli Dewan yang mulia ini, sejak pindaan ke atas Ordinan Pengedaran Gas 2016 (DGO 2016) pada tahun 2023, Kementerian saya telah melaksanakan beberapa langkah kawal selia yang signifikan.

“Antara langkah yang telah diambil ialah pengeluaran sebanyak 14 lesen aktiviti kepada pemain industri huluan (upstream), serta 537 lesen kepada pemain industri hiliran (downstream).

“Selain itu, kementerian juga telah mengeluarkan 10 notis ketidakpatuhan kepada lima syarikat yang didapati menjalankan aktiviti tanpa lesen di bawah Seksyen 7, DGO 2016," katanya.

Dalam usaha menegakkan undang-undang tersebut, Dato Sri Julaihi mengesyorkan kementeriannya akan mengekalkan suasana mesra pelabur bagi menarik kemasukan pelaburan baharu ke negeri ini.

Jelasnya, ini memastikan sumber gas negeri ini diurus secara mampan bagi menyokong pertumbuhan industri serta kekal tersedia pada harga yang berpatutan demi manfaat seluruh rakyat Sarawak. -EDISI UKAS