KUCHING: Projek tambahan penjanaan daripada tenaga boleh baharu berpotensi untuk dibangunkan di Sarawak bagi memacu aspirasi tenaga hijau negeri ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, antara projek yang mampu dibangunkan ialah ‘Large Scale Solar Farm’ dan ‘Pumped Hydro Energy Storage’.
“Setakat ini, beberapa syarikat swasta telah mengemukakan cadangan penjanaan dari tenaga boleh baharu dan sedang dalam kajian kebolehlaksanaan di lokasi-lokasi seperti di empangan Bengoh, Batang Ai, Bakun dan Murum.
“Manakala untuk ‘Cascading Power Sources’, kementerian saya dan Sarawak Energy Berhad telah melaksanakan 24 sesi libat urus yang melibatkan komuniti di Sungai Gaat dan Sungai Tutoh dengan Upacara Muja Menua yang telah diadakan di Sungai Gaat pada 4 April 2025,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi pergulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Dato Sri Julaihi menambah, eksport tenaga elekrik merentasi sempadan bagi merealisasikan matlamat Borneo Power Grid (BPG) dan ASEAN Power Grid (APG) akan dipergiatkan untuk meletakkan Sarawak sebagai ‘Battery of ASEAN’.
Menurutnya, Sarawak telah mengeksport lebih kurang 100 megawatt (MW) tenaga ke Kalimantan Barat sejak 2016 dan akan mengeksport sebanyak 30 hingga 50MW tenaga pada suku keempat 2025.
“Di samping itu, kita juga merancang untuk mengeksport tenaga ke Semenanjung Malaysia yang tidak kurang 1,000 MW serta sehingga 1,000 MW ke Singapura dan Brunei,” katanya. -EDISI UKAS