Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak Dianggarkan Cecah RM300 Juta Setahun

Posted on 26 May 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) di Sarawak dijangka menelan belanja sekitar RM300 juta setahun.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn memaklumkan bahawa anggaran tersebut dibuat berdasarkan jumlah pelajar yang layak, iaitu sekitar 60,000 meliputi pelbagai institusi pengajian tinggi milik negeri.

Namun jelasnya, terdapat perubahan setiap tahun bagi kos yang dibelanjakan bergantung kepada kursus dan jumlah pelajar yang layak.

“Jumlah perbelanjaan bergantung kepada yuran yang dikenakan oleh sekolah dan universiti, namun kami telah pun membuat perancangan.

“Semua ini adalah berdasarkan anggaran, dan dianggarkan sekitar RM300 juta setahun. Ia tidak akan sama setiap tahun kerana pada tahun pertama pelaksanaan ini, jumlah anggaran adalah sekitar RM300 juta.

“Sudah tentu, pada tahun-tahun berikutnya, jumlah pelajar yang layak akan meningkat, sekali gus memberi kesan kepada kos keseluruhan,” katanya semasa sesi pergulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.

Selain pendidikan percuma, Dato Sri Roland memberitahu, 9,000 pelajar telah menerima komputer riba, dengan kos sekitar RM3,000 seunit, menjadikan jumlah peruntukan anggaran sebanyak RM27 juta untuk inisiatif tersebut.

Sementara itu, bagi baucar buku, seramai 3,000 pelajar telah menerima bantuan sebanyak RM500 setiap seorang, melibatkan kos keseluruhan anggaran sebanyak RM1.5 juta.

Beliau turut menjelaskan bahawa semua angka ini adalah berdasarkan anggaran awal dan tertakluk kepada perubahan dari semasa ke semasa mengikut keperluan serta perkembangan baharu. -EDISI UKAS