KOTA SAMARAHAN: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Dato Idris Buang turun padang ke Kampung Sungai Mata dan Kampung Tanjung Parang bagi meninjau secara langsung situasi gangguan bekalan air yang berlarutan di kawasan terbabit.
Dalam lawatan yang diadakan pada Ahad, beliau memberi penerangan kepada penduduk mengenai punca gangguan serta langkah-langkah penambahbaikan yang sedang dan akan diambil oleh pihak berkaitan.
Menurut Dato’ Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, antara faktor utama gangguan bekalan air adalah tekanan air yang rendah serta kemungkinan kebocoran paip yang sukar dikesan, sekali gus menjejaskan aliran air ke beberapa kediaman penduduk.
“Sebagai langkah segera, setiap rumah yang terjejas akan dibekalkan dengan tangki air untuk mengurangkan beban penduduk sementara kerja-kerja pembaikan dilaksanakan,” jelas beliau.
Lembaga Air Kuching (KWB) kini giat menjalankan pengesanan kebocoran menggunakan kaedah konvensional dan teknologi moden di samping lapan tangki statik telah ditempatkan di lokasi strategik di Kampung Sungai Mata bagi memastikan bekalan air terus dapat diakses penduduk.
Penghantaran air bersih melalui lori tangki turut diteruskan dengan kerjasama Pasukan Tindakan Awal Muara Tuang serta KWB bagi menjamin keperluan asas penduduk.
Dato’ Idris turut memaklumkan bahawa kerja penyambungan dan baik pulih paip agihan sedang dilaksanakan untuk meningkatkan tekanan air di kawasan terjejas, dengan projek dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2025.
Bagi penyelesaian jangka panjang, beliau menjelaskan bahawa terdapat tiga projek utama di bawah program penaiktarafan sistem bekalan air Bahagian Samarahan yang sedang giat dilaksanakan.
“Antaranya ialah Projek Naik Taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang No. 4 yang kini mencatat kemajuan fizikal sebanyak 6.4 peratus.
“Selain itu, pembinaan dua Tangki Aras Tinggi (ALT) di Samarindah dijangka bermula pada suku ketiga tahun 2025 dan satu lagi projek penting ialah pembinaan paip utama berdiameter 1000 milimeter dari Batu 7 ke Samajaya sehingga ke Tangki Entingan yang bakal meningkatkan kapasiti agihan air ke kawasan terlibat,” jelas beliau.
Dalam masa yang sama, kerja baik pulih saluran agihan utama dari Kampung Meranek ke Kampung Tanjung Parang kini dalam proses tender dan dijangka dimulakan pada Ogos 2025.
Hadir sama, Ketua Marqas Operasi DUN Muara Tuang, Aziz Mohamad; Penghulu Kampung Sungai Mata Elen Mustapha; dan Ketua Kaum Kampung Sungai Mata, Bujang Daud. -EDISI UKAS