150 Peserta Meriahkan Kejohanan Pickleball ADUN Backbencher

Disiarkan pada 25 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Seramai 150 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) serta kakitangan kerajaan telah memeriahkan Kejohanan Pickleball Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Backbencher yang berlangsung sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Penyertaan besar-besaran daripada pelbagai lapisan ini menyerlahkan semangat kesukanan dan perpaduan yang menjadi teras penganjuran kejohanan tersebut.

Pengerusi penyelaras kejohanan yang juga ADUN Tellian, Royston Valentine berkata, kejohanan ini bukan sahaja bertujuan mempromosikan sukan pickleball yang kian mendapat tempat, tetapi juga sebagai wadah mengeratkan hubungan antara pemimpin dan warga kerja kerajaan.

“Kita amat berbesar hati menerima penyertaan yang begitu menggalakkan, termasuk daripada ADUN, Ahli SABATI dan kakitangan agensi kerajaan. Ini membuktikan sukan boleh menjadi jambatan yang menyatukan semua golongan dalam suasana yang sihat dan harmoni,” ujarnya ketika berucap dalam kejohanan berkenaan pada Sabtu.

Sebanyak 100 peserta lelaki dan 54 peserta wanita telah bertanding dalam beberapa kategori untuk merebut hadiah yang ditawarkan di mana acara ini juga mendapat sokongan padu daripada Persatuan Pickleball Kuching selaku rakan pelaksana kejohanan.

Royston turut menekankan bahawa pickleball merupakan sukan yang mudah diceburi, sekaligus sesuai untuk diperkenalkan secara lebih meluas kepada masyarakat, termasuk warga kerja kerajaan.

Turut hadir memeriahkan kejohanan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; ADUN Tanjung Batu, Johny Pang Leong Ming; ADUN Jepak, Iskandar Bin Turkee; Setiausaha-Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak; dan Ketua-ketua Jabatan. -EDISI UKAS