Agrofest Serian Tarik 12,000 Pengunjung

Disiarkan pada 25 May 2025
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Penganjuran Agrofest Serian 2025 selama tiga hari di Dataran Mutiara, Tebedu, mencatat kejayaan luar jangka apabila menarik lebih 12,000 pengunjung, sekali gus melepasi sasaran awal 4,000 orang.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben, berkata festival julung kali itu turut berjaya menjana pendapatan hasil jualan berjumlah RM195,000 setakat jam 11 pagi Ahad.

Menurut beliau, kejayaan penganjuran kali ini menunjukkan minat dan sokongan tinggi masyarakat terhadap pembangunan sektor agromakanan dan keusahawanan luar bandar.

“Mini Agrofest seterusnya akan diadakan di Selangau, manakala Agrofest Peringkat Negeri Sarawak dijadual berlangsung di Bintulu pada Ogos ini,” katanya.

Tambah beliau, Kementerian (MFICORD) juga merancang untuk menjadikan Bintulu sebagai lokasi tetap penganjuran Agrofest, yang bakal dinaik taraf setanding dengan pameran pertanian bertaraf nasional seperti MAHA.

Turut hadir dalam majlis penutupan ialah ADUN Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada; Timbalan Residen Bahagian Serian, Abdul Khalid Manap; Pegawai Daerah Tebedu, Gerard George Entigar dan Pegawai Pertanian Bahagian Serian, Willie Peter. -EDISI UKAS