SIBURAN: Pasukan YOKCAII Project Team telah muncul sebagai johan dalam pertandingan akhir Futsal Terbuka Lelaki Piala Dato Sri Roland Sagah Wee Inn yang berlangsung di Gelanggang Futsal Kampung Sinjok Siburan pada Sabtu.
Perlawanan Futsal Terbuka Lelaki ini telah dianjurakan oleh Biro Sukan Sinjok Tijirak (BSST), Siburan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn sendiri telah hadir menyaksikan perlawanan akhir di antara Pasukan YOKCAII Project Team dan Pasukan SSS Team sekaligus merasmikan Gelanggang Futsal Kampung Sinjok yang telah siap dibina.
Pertandingan ini bukan hanya terbuka kepada belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat sahaja, malah menarik minat belia dari luar kawasan Tarat untuk turut serta.
Difahamkan, sebanyak 22 pasukan telah turut serta bagi merebut piala pusingan Dato Sri Roland Sagah ini.
Naib johan bagi pertandingan akhir Futsal ini ialah Pasukan SSS Team, dan tempat ketiga bersama dimenangi oleh Pasukan MEITD dan Pasukan KHS FT.
Bagi tempat pertama, hadiahnya berupa wang tunai berjumlah RM1,500 dan medal berserta piala manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM800 dan RM400 beserta piala dan medal.
Bagi Penjaga Gol Terbaik pula dimenangi oleh Penjaga gol Yokcaii Project Team, Muhammad Syahlan Roslan manakala bagi Pemain Terbaik dimenangi pemain dari YOKCAII Project Team, Asrof Hanapiah Ahmad
Untuk rekod, Pertandingan Futsal Wanita Piala Dato Sri Roland Sagah Wee Inn telah berlangsung pada September tahun lepas di Gelanggang Futsal Kampung Peraya, Siburan.
Hadir sama, Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph. -EDISI UKAS