RM530,000 Disalurkan untuk Pembangunan Infrastruktur dan Komuniti di Kampung Sikog

Disiarkan pada 25 May 2025
Sumber Berita: UKAS


PADAWAN: Sebanyak RM530,000 telah diperuntukkan bagi pembangunan infrastruktur dan komuniti di Kampung Sikog sebagai usaha memperkasakan pembangunan luar bandar dan meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM500,000 disalurkan bagi pelaksanaan fasa kedua pembinaan jalan baharu ke kawasan air terjun Baan Gong melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

Menurut beliau, perancangan turut sedang dijalankan untuk membangunkan sektor pertanian dan pelancongan sebagai pemangkin ekonomi tempatan yang mampan.

Selain itu, Datuk Dr Jerip turut mengumumkan peruntukan RM30,000 di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sikog bagi menyokong aktiviti kemasyarakatan serta pembangunan komuniti.

Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam membawa kemajuan ke kawasan berkenaan, termasuk pelaksanaan projek pemasangan tiang lampu jalan, pembaikan jalan raya, dan penambahbaikan sistem perparitan.

Beliau turut mengiktiraf peranan penting Sekolah Kebangsaan St. Augustine dalam bidang pendidikan serta kerjasama erat yang terjalin antara pihak sekolah dan JKKK kampung, menjadikan institusi tersebut antara yang cemerlang di kawasan Mambong.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan, Julius Scott Sapong; Penghulu Kawasan Mambong, Sitang Dolik Sembong; serta Ketua Wanita PBB Cawangan Mambong, Kasean Nena. -EDISI UKAS