Pelihara Keharmonian Kaum Yang Menjadi Asas Kekuatan Sarawak

Disiarkan pada 25 May 2025
Sumber Berita: UKAS


LUNDU: Orang ramai diseru untuk terus memelihara keharmonian antara kaum dalam komuniti yang sekian lama telah menjadi tunjang kekuatan di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, sambutan seumpama Pra Gawai merupakan platform penting bagi menyatukan semua lapisan masyarakat kampung serta memperkukuh semangat kekitaan tanpa mengira latar belakang.

“Sambutan seperti ini mampu mempererat silaturahim, menyemai semangat perpaduan, dan mengekalkan keharmonian antara kaum yang menjadi kekuatan utama negeri Sarawak,” ujarnya ketika berucap dalam majlis sambutan Hari Guru, Hari Ibu dan Pra Gawai yang diadakan serentak di Kampung Sebako, pada Sabtu.

Dalam kesempatan itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para ibu dan guru atas pengorbanan dan jasa mereka dalam mendidik serta membentuk masyarakat yang berilmu dan berakhlak.

“Tanpa bimbingan dan kasih sayang seorang ibu serta dedikasi seorang guru, kejayaan dalam hidup adalah sesuatu yang sukar untuk dicapai,” katanya lagi.

Tambah beliau, peranan guru sangat besar dalam mencorak masa depan negara kerana mereka tidak pernah mengenal penat dalam mencurahkan ilmu serta membentuk sahsiah anak-anak.

Dalam majlis yang sama, Billy turut menyerahkan bantuan berupa bakul makanan kepada 39 orang penerima, terdiri daripada warga emas berumur 65 tahun ke atas dan orang kurang upaya (OKU) sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan memerlukan.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Niponi Undek; Penghulu Wang Ering; dan Ketua Kaum Kampung Sebako 2, Normin Sujang. -EDISI UKAS