KOTA SAMARAHAN: Sukan sepak takraw terus membuktikan pesonanya merentas usia apabila Kejohanan Sepak Takraw Cabaran Veteran Kota Samarahan 2025 berlangsung dengan penuh semangat dan saingan sengit.
Kejohanan sulung anjuran Kelab Sepak Takraw Taman Samarindah (STC) dengan kerjasama Persatuan Sepak Takraw Bahagian Samarahan (SDTA) itu berjaya menghimpunkan 16 regu veteran dari seluruh Sarawak pada 24 dan berakhir pada hari ini bertempat di Dewan Perpaduan Taman Samarindah, Kota Samarahan.
Regu Pestas A dari Sibu muncul juara selepas menewaskan regu Kastam dalam perlawanan akhir.
Regu Kastam yang dibarisi nama-nama besar bekas pemain Sarawak seperti Mat Long, Rudy, Ajit dan Daim gagal menyaingi kekuatan regu muda veteran dari Sibu yang turut menampilkan tekong sensasi, Ahim.
Tempat ketiga bersama disandang oleh regu Golden Age dari Kuching dan Mypham Veteran dari Bintulu.
Juara membawa pulang piala, pingat dan wang tunai RM1,500 manakala naib juara menerima piala, pingat dan wang tunai RM800.
Kedua-dua regu tempat ketiga masing-masing menerima piala, pingat dan wang tunai RM350.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Samarahan (SDTA), Mohammad Nizam Wang yang juga Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak menyempurnakan penyampaian hadiah.
Beliau turut menyampaikan anugerah khas kepada Keron Mat, 64 tahun sebagai pemain paling berusia dalam kejohanan ini kerana pada usia ini beliau membuktikan usia bukan penghalang untuk terus bersaing di gelanggang.
Dalam ucapannya, Mohammad Nizam Wang turut mengucapkan syabas dan penghargaan kepada penduduk Taman Samarindah atas kemudahan dewan yang serba baik bagi penganjuran pelbagai aktiviti sukan, khususnya sepak takraw.
Beliau juga memberitahu bahawa Kota Samarahan telah dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak 2025 yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 22 Jun ini.
Menurut beliau, kejohanan itu akan memberi penekanan kepada penyertaan pemain belia sebagai langkah pendedahan kepada suasana kompetitif di peringkat negeri.-EDISI UKAS