Sarawak Yakin Dapat Turunkan Kos Pengeluaran Hidrogen

Posted on 25 May 2025
Source of News: UKAS


KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak yakin kos pengeluaran hidrogen boleh dikurangkan kepada hanya 10 kiloWatt jam bagi setiap kilogram (kWj/kg) berbanding 30 kWj/kg ketika ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata usaha tersebut dapat dicapai melalui kerjasama dengan syarikat tenaga terkenal dari Jerman, Siemens Energy dalam usaha Kerajaan Sarawak menghasilkan hidrogen yang lebih cekap serta menjimatkan tenaga.

“Ada potensi untuk kos ini dikurangkan lagi. Dengan kerjasama yang sedang dijalankan bersama Siemens, kami menyasarkan penggunaan tenaga sekitar 10 kWj bagi setiap kilogram hidrogen.

“Apa yang saya katakan di sini ialah kita bergerak menuju ke hidrogen bersih,” katanya ketika berucap dalam sesi Menerajui Kemampanan Dan Digitalisasi ASEAN sempena Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN (AWES) di sini pada Ahad.

Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari, menerusi kerjasama penyelidikan bersama Bahagian Penyelidikan PETRONAS dan syarikat dari Jepun, Sarawak telah berjaya menurunkan penggunaan tenaga bagi penghasilan hidrogen daripada 60 kWj/kg kepada 30 kWj/kg menggunakan teknologi membran baharu.

“Penyelidikan ini bukan sahaja menjimatkan tenaga, tetapi turut membantu Sarawak untuk memenuhi piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan tenaga bersih ini akan menjadi sumbangan penting Sarawak dan Malaysia ke arah mewujudkan dunia yang lebih lestari dan mesra alam.

Terdahulu, Premier Sarawak turut mengunjungi pameran AWES 2025 bersama tetamu jemputan yang lain.

Hadir sama, Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, Datuk Hanifah Hajar Taib; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; Ketua Setiausaha Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian, Dato Hairil Yahri Yaacob; Pengasas Women Leadership Foundation, Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’diah Sheikh Bakir; Pengerusi AWES 2025, Pengasas Women Leadership Foundation, Datuk (Dr) Hafsah Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif OUB Malaysia, Ng Wei Wei serta tetamu jemputan yang lain.-EDISI UKAS