Mesyuarat PIBG Erat Hubungan Sekolah dan Komuniti

Posted on 25 May 2025
Source of News: UKAS


SIBU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) disifatkan sebagai jambatan penting dalam menghubungkan pihak sekolah dengan komuniti ibu bapa, sekaligus mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih inklusif dan progresif.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, melalui platform seperti ini, pelbagai idea dan cadangan dapat dibincangkan secara terbuka demi kepentingan pelajar dan kemajuan sekolah.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-28 SMK Kampung Nangka di sini, pada Sabtu.

Beliau turut menegaskan kejayaan sesebuah institusi pendidikan memerlukan kerjasama semua pihak, bukan hanya bergantung kepada guru dan pelajar, malah penglibatan aktif ibu bapa serta masyarakat sekitar.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 melalui projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun 2025 bagi meningkatkan lagi kemudahan dan infrastruktur sekolah.

Ini susulan peruntukan RM150,000 yang telah disalurkan pada 2024 untuk menaik taraf padang sekolah kepada tapak konkrit yang kini siap sepenuhnya.

Majlis turut dihadiri Naib Yang Dipertua PIBG, Normaseni Mohammad Harun, guru-guru, ibu bapa serta pelajar SMK Kampung Nangka.

Kira-kira 50 orang hadir bagi menyertai mesyuarat tersebut yang berlangsung dalam suasana penuh kerjasama dan keterbukaan.-EDISI UKAS