SIBU: Ekspo Pendidikan Borneo 2025 yang berlangsung di RH Hotel, Sibu disifatkan sebagai landasan strategik dalam membentuk hala tuju pendidikan anak muda Sarawak, selaras dengan aspirasi negeri ke arah pembangunan bakat dan modal insan berdaya saing.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, penganjuran ekspo selama tiga hari oleh StudyMalaysia mencerminkan komitmen kolektif dalam menyediakan akses pendidikan yang inklusif, pelbagai dan menepati piawaian global.
“Pendidikan bukan sekadar pemindahan ilmu, tetapi pembinaan visi, inovasi dan ketahanan.
"Ekspo ini memberi peluang kepada pelajar dan ibu bapa meneroka program akademik, biasiswa, pembiayaan pendidikan serta laluan kerjaya dalam suasana yang interaktif dan informatif,” katanya ketika merasmikan pembukaan ekspo tersebut pada Sabtu.
Program yang berlangsung dari 23 hingga 25 Mei ini dianjurkan dengan kerjasama Business Events Sarawak dan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), menghimpunkan lebih 35 institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa.
Datuk Michael Tiang turut menyifatkan ekspo ini sebagai usaha merapatkan jurang antara potensi dan peluang, serta menghubungkan akar tempatan dengan cita-cita global.
Turut hadir, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sibu, Jeremy Ling Beng Leh dan Pengarah Eksekutif StudyMalaysia Sdn Bhd, Tan Mui Hong.
Dalam ucapannya, Tan menekankan kepentingan sokongan ibu bapa dan guru dalam membantu anak-anak membuat pilihan tepat dalam pendidikan, selain menggalakkan pelajar untuk berani bermimpi besar dan mengambil peluang sebaiknya.-EDISI UKAS