700 Pokok Ditanam di Hutan Simpan Sabal, Sokong Kempen Penghijauan Sarawak

Posted on 25 May 2025
Source of News: UKAS


SABAL: Sebanyak 700 anak pokok spesies tempatan ditanam di Hutan Simpan Sabal dalam satu program penanaman pokok anjuran Kinoshita Group melalui Japan Malaysia Association (JMA), sebagai sokongan kepada Kempen Penghijauan Sarawak yang diterajui Jabatan Hutan Sarawak (JHS).

JHS dalam satu kenyataan media pada Sabtu berkata, inisiatif ini melibatkan spesies Kapur Bukit dan Bintangor Laut yang berperanan penting dalam memulihkan kawasan hutan terosot dan meningkatkan biodiversiti di Sarawak.

“Lebih 100 peserta hadir termasuk kakitangan Jabatan Hutan Sarawak, sukarelawan JMA, pelajar dan guru dari SMK Balai Ringin, pensyarah dan pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), serta komuniti setempat.

“Program ini turut menzahirkan komitmen bersama pelbagai pihak dalam menjayakan agenda kelestarian negeri,” menurut kenyataan tersebut.

Program ini juga mencerminkan kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakan antarabangsa dalam menyokong misi Sarawak untuk mencapai masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan iklim.

Turut hadir, Penyelaras JMA Sarawak, Kazue Sakai; Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber UNIMAS, Prof Madya Dr. Mohd Effendi Wasli; wakil SMK Balai Ringin, Michael Pulo; serta wakil Jabatan Hutan Sarawak, Wan Abdul Khaliq.-EDISI UKAS